Pelarian Rohingya Enggan Balik Ke Myanmar

COX’S Bazar, Bangladesh – Pesuruhjaya mengenai pelarian di sini mendedahkan etnik Rohingya enggan untuk dihantar pulang ke Myanmar.

Kebanyakan pelarian yang tiba di Bangladesh dengan mem­bawa pengakuan mengenai pembunuhan, pemerkosaan dan pembakaran oleh tentera Myanmar tahun lalu, bersembunyi apabila pihak berkuasa menegaskan untuk melakukan proses penghantaran pulang.

Berikutan itu, usaha pesuruhjaya pelarian Bangladesh untuk menghantar pulang kumpulan pertama 150 orang daripada jumlah awal 2,260 kini tergendala daripada jadual sebenar yang sepatutnya dilakukan semalam.

“Menurut penilaian sukarelawan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), tiada seorang pun daripada 50 keluarga yang ditemu bual menyatakan kesanggupan untuk kembali di bawah situasi yang tidak menentu. Tiada yang berasakan mereka selamat untuk pulang sekarang,” kata Mohammad Abul Kalam kepada AFP.

Mohammad tidak mengatakan jika rancangan penghantaran pulang semalam dibatalkan. Tetapi dia berkata: “Kami tidak boleh memaksa mereka pulang dan menentang kehendak mereka.”

Lebih daripada 720,000 umat Islam Rohingya menjadi pela­rian untuk berlindung daripada keganasan tentera Myanmar yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Siasatan PBB jelas menyatakan tindakan itu merupakan satu pembersihan etnik.

Pelarian Rohingya kini tinggal di kem-kem daif di tenggara Bangladesh, termasuk pene­mpatan besar di daerah sempadan Cox’s Bazar. Pemimpin masyarakat mengatakan kebanyakan mereka yang ditandakan untuk penghantaran pulang melarikan diri ke kawasan bukit.

“Sebanyak 98 peratus keluarga (dalam senarai dihantar pulang) telah melarikan diri,” kata pemimpin komuniti Rohingya, Nur Islam semalam.

Dia dan beberapa pemimpin lain berkata bahawa peningkatan bilangan tentera Bangladesh di kem-kem pelarian kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan.

Dalam pada itu, pertubuhan Amnesty International kelmarin, menggesa pihak berkuasa Bangladesh dan Myanmar menghentikan segera rancangan itu kerana meletakkan nyawa pelarian dalam bahaya.

“Kesemua wanita, lelaki dan kanak-kanak akan dihantar pulang dalam keadaan tiada jaminan keselamatan daripada keganasan tentera Myanmar,” kata wakil Amnesty, Nicholas Bequelin. – AFP/KOSMO ONLINE

Loading...