Pelantikan Transgender Rania Zara Ikut Prosedur – KKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini berkata pelantikan seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) dilakukan mengikut prosedur sedia ada.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, lantikan dibuat dalam kalangan populasi berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh Pengerusi CCM iaitu beliau sendiri.

“Fungsi CCM adalah bagi mengawal HIV/AIDS adalah sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak HIV/AIDS di negara ini.

“Populasi sasar ini termasuk transgender, men-sex-with-men, female sex worker, people who use drug dan people living with HIV/AIDS (PLHIV),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu pelantikan Rania Zara Medina sebagai ahli CCM mendapat perhatian ramai apabila dakwaan beliau adalah seorang transgender.

Rania dilantik ke jawatan itu melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.

Ia tersebar apabila lantikan itu dimuatnaik Rania ke Facebook dengan menunjukkan surat itu ditandatangani sendiri oleh Boon Chye.

Rania merupakan pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 akan mewakili malaysia sebagai ahli CCM mendapatkan dana daripada Globalfund yang merupakan sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited dalam melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria.

Menurut Boon Chye, ahli CCM pernah dianggotai Datuk Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Seri Dr. Hilmi Haji Yahaya.

“Sebagai keperluan Global Fund, anggota CCM terdiri daripada 25 ahli yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, NGO, ahli akademik, dan wakil komuniti dari populasi sasar,” tambahnya.

CCM Malaysia ditubuhkan atas keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2009 untuk menangani penyakit HIV/AIDS melalui sumbangan dari Global Fund.

Antara fungsi utama CCM Malaysia adalah merangkumi permohonan peruntukan di bawah Global Fund, pemantauan serta memberi sokongan teknikal bagi perlaksanaan projek berkenaan.

KKM bertindak sebagai koordinator dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan. – MalaysiaGazette

Loading...