Pelantikan Najib Tidak Jejas Kerjasama PAS-UMNO – Hadi

MARANG – PAS tidak mahu mencampuri urusan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) sebaliknya hanya akan memberi tumpuan kepada agenda penyatuan antara parti itu dan UMNO sahaja.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, urusan dalaman BN dan kerjasama secara politik di antara PAS dan UMNO adalah dua perkara yang berbeza.

“PAS tidak campur hal parti lain, (kerjasama PAS-UMNO terjejas tak dengan pelantikan itu) itu hal lain, penyatuan kedua-dua parti pula hal lain… boleh bezalah tu,” katanya ditemui hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah di Masjid Rusila.

Sebelum itu, pelantikan bekas Presiden UMNO itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN dilihat menjadi polemik pertikaian beberapa pihak dalam parti itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan, pelantikan Najib sebagai ‘langkah ke belakang’.

“Kita (BN) kalah di bawah siapa? Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita?” kata bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Perkara sama turut disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang secara terbuka menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan BN melantik Najib.

Beliau juga melahirkan rasa tidak lagi gembira bersama UMNO selepas Najib dilantik mengisi posisi itu.

Dalam pada itu, setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub pula berkata, kelayakan bekas perdana menteri itu tidak wajar dipersoalkan kerana pengalaman yang dimiliki sebelum ini ketika menjadi Pengerusi BN. – Sinar Harian

Loading...