Pelantikan Ketua Kampung & MPP Di Labuan Diteliti

LABUAN – Pelantikan ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di sini akan diumumkan selewat-lewatnya pertengahan bulan hadapan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Kita akan berusaha untuk menyegerakan pelantikan, kerana kita baru sahaja mengeluarkan surat pelantikan kepada Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu dan anggota Majlis Penasihatnya. Kami mohon maaf atas kelewatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuat keputusan muktamad dalam tempoh dua minggu memandangkan senarai calon sudahpun dikemukakan kepada pihak kementerian.

“Skop tugas dan tanggungjawab MPP mungkin perlu dikaji semula untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk mengikut bilangan zon dan sub-zon yang dikecilkan,” katanya.

Khalid berkata pelantikan akan dibuat berdasarkan merit dan penerimaan penduduk terhadap kepimpinan mereka.

“Bagi mereka yang berkhidmat kepada penduduk dengan efektif, dan masih diperlukan penduduk, kita tidak ada masalah untuk kembalikan jawatan mereka,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada status Yayasan Pembangunan Labuan di sini yang akiviti perniagaannya dikatakan semakin merudum, Khalid berkata tiada keputusan diambil mengenainya, memandangkan kajian menyeluruh akan dilaksanakan nanti bagi mengkaji peranan Yayasan itu sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya. – BERNAMA