Pelantikan Idrus Berdasarkan Kepakaran, Pengalaman

KUALA LUMPUR – Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara baharu dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan tahap profesional.

Presiden Majlis Peguam, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata ia menunjukkan Idrus memenuhi kriteria tepat bagi memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan peruntukan undang-undang serta prosedur mahkamah sedia ada.

“Dakwaan kononnya Idrus yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, dilantik sebagai Peguam Negara menimbulkan isu konflik kepentingan sepatutnya tidak berlaku.

“Saya pernah berjumpa Idrus beberapa kali, dia sangat profesional dalam hal kerja.

“Jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Peguam Cara Negara yang pernah disandang Idrus sebelum ini sudah tentu memperlihatkan beliau sebagai seorang yang berpengalaman luas dan pakar dalam bidang perundangan,” katanya pada BH, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pula menjelaskan pelantikan Idrus itu bukan dibuat secara lantikan politik, sebagaimana sebelum ini kerana beliau adalah daripada kalangan penjawat awam dan kemudiannya menjadi hakim.

Beliau berkata, Idrus juga seorang yang berperwatakan lemah lembut tetapi tegas dalam perundangan. Saya yakin pegawai di Jabatan Peguam Negara akan memberi kerjasama penuh kepada beliau.

“Sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan, Idrus dilihat mempunyai pengalaman luas dalam bidang undang-undang selain kemahiran membabitkan sistem perundangan syariah dan isu Islam berikutan pernah memegang jawatan Peguam Cara Negara.

“Saya berharap beliau dapat menjalankan tanggungjawab mempertahankan perlembagaan dan tidak bertindak sebagai peguam negara ‘blok’ tertentu sahaja,” katanya. – BH Online

Loading...