Pelanggan Boleh Makan Di Restoran Mulai Esok

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan pelanggan untuk menikmati hidangan di restoran bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kelonggaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk satu meja terhad dua orang sahaja dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Pemilik restoran juga perlu memberi tugasan kepada sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi premis yang membenarkan ‘dine-in’ iaitu memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis.

“Selain itu, memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan, penjarakan fizikal satu meter ketika berada di premis,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Menurutnya, pemilik restoran bertanggungjawab menghadkan jumlah pelanggan berada di premis pada satu-satu masa.

“Aktiviti penjualan makanan dibenarkan secara dine-in, bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran bermula 6 pagi sehingga 10 malam,” katanya. – myMetro Online