Pelancongan Perubatan Boleh Tingkat Ekonomi

KUALA LUMPUR – Penyedia penjagaan kesihatan dalam negara boleh membantu dalam menjadikan bidang pelancongan perubatan sebagai penjana utama ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam perkara ini, saya melihat Institut Jantung Negara (IJN) sebagai contoh terbaik pemain antarabangsa yang kompetetif. Saya percaya ini dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan global yang diterimanya selama ini,” katanya semasa berucap di majlis makan malam IJN Jubilant Journey Dinner 2018, di sini malam ini.

“Institut ini disifatkan sebagai Pusat Pakar Rawatan Pesakit Terbaik tahun ini oleh International Medical Travel Journal (IMTJ) Medical Travel Awards 2018, ‘Best Cardiology Provider’ tiga tahun berturut-turut sejak 2016 oleh Global Healthcare Travel Council, dan CSR Malaysia Award pula menyanjung sumbangan IJN dalam mentransformasi sosio-ekonomi negara (pada tahun 2016 dan 2018),” tambahnya.

Turut hadir di majlis malam ini ialah isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, Pengerusi IJN Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Asyraf, Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Seri Dr Aisyah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Azhari Yakub.

Dr Mahathir berkata sektor awam akan terus menjadi asas kepada penjagaan kesihatan negara, semasa kerajaan kekal komited sepenuhnya untuk terus melabur dalam bidang itu bagi memastikan perkhidmatan perubatan yang penting, terus kekal boleh diakses orang ramai.

“Untuk itu kerajaan akan terus menyokong IJN dalam usahanya menyediakan penjagaan dan rawatan kesihatan yang berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang status atau ekonomi,” katanya.

Dalam nada yang lebih peribadi, Dr Mahathir menyuarakan penghargaannya kepada IJN yang banyak menjaga dan mengambil berat mengenai dirinya sebagai pesakit.

“Saya sendiri sebagai seorang doktor, saya percaya penjagaan kesihatan adalah lebih daripada sekadar infrastruktur moden dan kemahiran teknikal… ia juga berkenaan menyediakan aspek sentuhan insan yang penuh dengan kebaikan dan kemanusiaan.

“Bagi pembedahan pintasan jantung saya sebelum ini, ucapan terima kasih yang teristimewa saya tujukan kepada Pakar Perunding Kardio Kanan Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, Ketua Pakar Bedah Kardiothoracic Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

“… juga kepada Perunding Kanan Pakar Anaesthesiologist Datuk Dr Mohamed Hassan Ariff dan ramai lagi yang menyumbang kepada kesihatan saya termasuk bekas pakar bedah jantung IJN, jururawat dan petugas sokongan,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya IJN akan terus meraih rekod cemerlang di masa hadapan. – BERNAMA

Loading...