Pelancong Wuhan Mangsa Ke-19 Positif Covid-19

PUTRAJAYA – Seorang pelancong dari Wuhan, China yang merupakan anak kepada kes ke-16 yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) turut mengalami nasib sama apabila dijangkiti penyakit tersebut.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak itu di negara ini 19 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata, wanita berusia 39 itu kini dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.

“Pesakit berkenaan sebelum ini diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan oleh pusat kesihatan daerah (PKD) selepas anak dan rakannya (pesakit ke-14) daripada empat individu kumpulan pelancong itu didapati positif pada 5 dan 7 Februari,” katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan PKD mendapati wanita itu menunjukkan gejala demam dan batuk semalam sebelum dirujuk ke hospital.

“Ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau berkata, KKM telah menggerakkan Pasukan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memberi perkhidmatannya kepada individu-individu yang diletakkan di bawah Perintah Pemantauan termasuklah petugas KKM dan agensi lain yang terlibat.

“Pasukan ini digerakkan sejak 6 Februari lalu susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi bantuan asas psikologi (psychological first aid: PFA) kelompok dan individu serta kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu.

Loading...