Pelancong Budak Tunggang Penyu Disiasat

TEGAS… Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah siasat kes seorang pelancong kanak-kanak duduk di atas penyu yang tular menerusi media sosial.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Sabah itu semasa ulas perkara itu berkata perbuatan berkenaan tidak boleh diterima kerana mereka kelihatan seolah-olah tidak hargai hidupan liar, memandangkan penyu merupakan spesies dilindungi di Sabah.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut sehingga siasatan selesai. Apa yang boleh saya katakan ialah ia merupakan pelanggaran terhadap pengiktirafan pelancongan kita.

“Kita mengalu-alukan pelancong datang ke Sabah dan melawat Sabah kerana terdapat banyak tempat menarik dan indah untuk pelancongan, dan pada masa yang sama, kita juga mengharapkan pelancong menghormati undang-undang kita untuk melindungi hidupan liar … menangkap penyu dan memasukkannya ke dalam bot dan duduk di atasnya, tidak boleh diterima.

“Kita akan menyiasat kerana pengendali bot dan syarikat pelancongan semestinya tahu jika mereka ada kaitan dalam hal ini,” katanya.

“Penyu laut ada saraf di tempurung dan dapat merasa benda-benda di tempurung sama seperti bagaimana kita dapat rasa sentuhan di kulit; tekanan, sentuhan, haba dan sebagainya,” kata pakar ekologi penyu Rushan Rahman.

“Ini bererti penyu dapat rasa sakit jika dipukul, ditebuk atau dikelar,” ujar beliau sambil  menasihati orang ramai yang menemui haiwan laut supaya mengelak daripada menyentuhnya.

Terdahulu, gambar kanak-kanak dipercayai pelancong ‘menunggang’ penyu dalam bot yang didakwa dirakam di Sabah mencetuskan kemarahan netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap operator pelancongan terbabit, lapor Berita Harian.

Gambar dipercayai dirakam dalam bot pelancong menunjukkan seorang kanak-kanak memakai jaket keselamatan sambil duduk di atas penyu dan dikelilingi penumpang lain.

Ia tersebar dalam Facebook serta WhatsApp, namun tidak menyebut di mana dan bila insiden itu berlaku.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya turut mendapat laporan mengenai gambar terbabit dan sedang melakukan siasatan lanjut.

“Saya sudah memeriksa dengan pasukan penguat kuasa di Semporna dan setakat ini, mereka tidak mendapat maklumat berhubung kejadian itu. Mungkin, ia gambar dikitar semula, namun saya sudah arahkan pasukan untuk untuk menyiasat,” katanya.

Penolong Pengarah JHL, Dr Sen Nathan yang namanya ditandakan dalam gambar di Facebook berkata, tiada maklumat lanjut mengenai kejadian yang diberikan oleh pengadu.

Katanya, pihaknya perlu mengesahkan dulu tempat, masa dan pemilik bot sebelum tindakan diambil.

“Selepas itu, mereka (yang melakukan kesalahan) boleh didakwa kerana membahayakan nyawa spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA

Loading...