Pelan Pemulihan TH Dilaksana Kerajaan PH Gagal

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pelan pemulihan Tabung Haji (TH) yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ternyata gagal dilaksanakan.

Beliau berkata, pendedahan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat pada Rabu lalu berhubung kerugian bersih syarikat Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sebanyak RM9.95 bilion bagi tahun kewangan 2019, amat membimbangkan.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan pelan pemulihan itu hanya bersifat kosmetik semata-mata bagi menutup kelemahan dasar ekonomi kerajaan PH sehingga menyebabkan aset TH terjejas teruk.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Mereka dikatakan menjual aset tersebut kepada UJSB dengan penerbitan sukuk berjumlah RM19.9 bilion pada bulan April 2019.

“Menerusi pelan ini, UJSB akan menebus kembali sukuk-sukuk tersebut berserta keuntungan berjumlah RM27.56 bilion pada hujung tahun kesembilan,” kata dalam satu kenyataan dalam Facebook beliau hari ini.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan adakah UJSB yang hanya berpendapatan sebanyak RM234 juta bagi tahun 31 Disember 2019 itu sahaja mampu untuk membina dana sebesar RM27.56 bilion bagi menebus sukuk-sukuk tersebut.

Katanya, Ketua Audit Negara turut meragui keupayaan UJSB untuk mencapai sasaran tanpa bantuan kerajaan Persekutuan.

“Lebih membimbangkan lagi apabila jaminan berbentuk komitmen yang sering diuar-uarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hakikatnya bukanlah jaminan kerajaan mengikut Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

“Justeru, atas dasar inilah Pemuda UMNO sejak dari awal tidak yakin dan sinis dengan pelan pemulihan tersebut kerana menganggap ia hanyalah satu ‘grand scheme’ atau ‘konspirasi besar’ penjualan lambak aset TH dengan mengaburi persepsi rakyat khususnya pendeposit dan menutup kelemahan dasar ekonomi PH,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut meluahkan kekecewaan Pemuda UMNO berikutan tiada tindakan signifikan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat sebarang salah laku dan penyimpangan dalam TH.

“Walaupun telah berkali-kali dibangkitkan termasuklah penyerahan memorandum mendesak penubuhan RCI TH kepada Menteri Agama di JPM, namun ia tidak berkesan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya dapat menyegerakan penubuhan RCI TH dan menghentikan segera segala transaksi penjualan aset TH termasuk baki 74 peratus ladang kelapa sawit milik TH Plantations. – Sinar Harian