Pelaksanaan Dasar Perlu Untuk Galak Produktiviti Pekerja

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar amat perlu bagi menggalakkan produktiviti pekerja seperti peningkatan peluang untuk latihan dan pembelajaran sepanjang hayat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata dasar-dasar seumpama itu akan membolehkan rakyat Malaysia bekerja lebih lama, menjalani kehidupan yang lebih sihat dengan pekerjaan yang kurang menuntut fizikal serta tempat kerja yang lebih banyak dilakukan secara digital.

“Realisasi penuaan yang produktif dan inklusif memerlukan dasar yang dibina berasaskan bukti yang kukuh.

“Seperti di hampir semua negara berpendapatan tinggi, kehidupan bekerja yang lebih lama sebaliknya memerlukan penyesuaian secara berperingkat kepada usia ketika kebanyakan rakyat Malaysia bersara,” kata beliau dalam ucapan pembukaan pada majlis pelancaran laporan Bank Dunia “A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia” di sini hari ini.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Berdasarkan kepada laporan, lebih tujuh peratus daripada populasi negara akan berusia 65 tahun dan ke atas pada 2020 dan ini bermakna Malaysia akan menjadi masyarakat yang berusia.

Kadar penuaan akan meningkat dalam tahun-tahun mendatang dan bahagian populasi yang berumur 65  tahun dan ke atas dijangka meningkat dua kali ganda kepada 14 peratus menjelang 2044 dan mencecah 20 peratus pada 2056.

Mustapa berkata penyediaan perlindungan pendapatan minimum untuk warga tua Malaysia memerlukan penambahbaikan selanjutnya dari segi perlindungan dan kecukupan skim insurans sosial.

“Skim i-Saraan KWSP dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghala ke arah tuju yang betul, tetapi masih ada ruang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua skim berkenaan dan kolaborasi selanjutnya dengan persatuan industri.

“Namun, walaupun dengan langkah-langkah seumpama itu, tidak mungkin skim insurans sosial dapat melindungi keseluruhan tenaga kerja,” kata beliau.

Oleh itu, pencen sosial yang dibiayai cukai bersasar yang lebih sederhana dan meluas mungkin juga diperlukan, tambah beliau.

“Memandangkan sebarang peningkatan dalam perbelanjaan fiskal mungkin mencabar dalam konteks kejutan fiskal pandemik COVID-19, penyediaan perlindungan pendapatan miniumum untuk pekerja yang lebih berusia, memerlukan campuran langkah-langkah dasar awam untuk kedua-dua perbelanjaan dan pendapatan,” kata beliau.

Mustapa turut maklum untuk sektor penjagaan orang tua menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi, adalah penting untuk mewujudkan persekitaran pasaran dan pengawalseliaan untuk peruntukan penjagaan orang tua persendirian, dan menyusun semula pembiayaan awam secara strategik terhadap penjagaan orang tua dan kediaman berasaskan komuniti.

“Berikutan pandemik COVID-19, adalah penting juga untuk terus meningkatkan infrastruktur penjagaan orang tua serta standard perkhidmatan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penghuni rumah jagaan warga tua,” kata beliau. – BERNAMA