Pelakon Wanita, Datuk Antara Ditahan Dalam Pesta Liar Di Bukit Ceylon

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita adalah antara 19 individu yang ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam, hasil maklumat awam mengenai pesta liar di kondominium berkenaan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat 11 lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an berada dalam salah satu unit kediaman di tingkat lapan.

Turut ditemui dalam serbuan sama adalah empat paket plastik berwarna hitam disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Hasil siasatan lanjut mendapati penganjur pesta berkenaan yang juga adalah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 28 tahun dipercayai membiayai kesemua perbelanjaan termasuk pembelian bekalan dadah.

Sumber berkata, pengunjung pesta berkenaan dipercayai berhibur dengan alunan muzik berdasarkan penemuan peralatan muzik seperti pembesar suara, lampu disko mudah alih serta subwoofer yang ditemui.

Penganjur juga dipercayai menyewa unit kediaman berkenaan dengan kadar RM1,000 satu malam sebelum menghantar jemputan melalui aplikasi WhatsApp.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 dari mereka positif dadah.

Pelakon wanita berusia pertengahan 40-an yang masih aktif membintangi beberapa telefilem dan drama bersiri itu serta lapan lagi yang lain bagaimanapun didapati bebas dari penyalahgunaan dadah namun ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan serbuan mengenai pesta liar berkenaan namun siasatan lanjut sedang dijalankan. – BH ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...