Pelakon Ditahan Polis, Cederakan Bekas Tunang

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencederakan bekas tunangnya, juga seorang pelakon, di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata dalam kejadian pada 26 Jun itu, pelakon berusia 27 tahun itu juga dilapor mencekik dan menumbuk mulut bekas tunangnya sehingga berdarah.

Siasatan awal mendapati pelakon terbabit ke rumah bekas tunangnya dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dipandunya dan berlaku pergaduhan antara mereka, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismadi berkata pelakon wanita berusia 23 tahun itu tidak membuat laporan polis pada awal kejadian kerana ingin menyelesaikan secara baik, namun lelaki terbabit didakwa bertindak secara berlebihan.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan dirujuk ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan namun tiada kesan kecederaan ditemui kerana kejadian itu telah lama berlaku.

“Pelakon lelaki terbabit ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Bandar Kinrara dan dia dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil,” katanya.