Pelajar Perempuan Maut Digilis Bas Sekolah

SEORANG pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Segamat, maut selepas digilis bas sekolah dinaikinya dalam kejadian di Jalan Mutiara 8, Taman Tenang, petang Selasa.

M. Ranjani Devi, 18, dari Johor Labis Estate, Chaah di sini, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira 3 petang itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika bas terbabit menghantar mangsa dan pelajar sekolah lain pulang ke rumah.

“Mangsa dipercayai sedang berdiri di tangga pintu keluar bas berkenaan dan tiba-tiba terjatuh lalu digilis bahagian tayar kiri belakang.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA

Loading...