Pelajar Mungkin Mangsa Pertama COVID-19 Di Indonesia

AMBON – Seorang pelajar universiti berusia 19 tahun dari perkampungan Sifnana, Kepulauan Tanimbar di Maluku dikuarantin selepas menunjukkan simptom COVID-19.

Beliau yang hanya dikenali sebagai BN, tiba di Ambon pada 7 Februari lalu dalam keadaan kurang sihat selepas melawat Malaysia, di mana 19 kes COVID-19 disahkan.

Ketua Agensi kesihatan Kepulauan Tanimbar, Edwin Tomasoa, berkata mangsa kini menerima rawatan di Hospital Awam Magretty Saumlaki di pulau itu sejak Rabu lalu.

“Setakat ini, dia (BN) disyaki dijangkiti COVID-19, sementara menunggu pengesahan dari makmal di Surabaya, Jawa Timur.

“Pesakit dikuarantin untuk 14 hari dan hanya dibenarkan pula sekiranya ujian makmal negatif,” katanya.

Pengarah Hospital Awam Magretty Saumlaki, Fulfully Ch Nuniary, menjelaskan bahawa pemeriksaan fizikal menunjukkan pesakit dalam keadaan stabil, tanpa sebarang simptom lain.

“BN mengadu sukar bernafas tetapi masalah itu sudah semakin reda sekarang dan apabila ditanya mengenai sejarah perubatannya, pesakit hanya mengadu mengalami sakit belakang.

“Esok, kita akan minta peralatan perubatan dari Ambon bagi menghantar contoh air liur ke Surabaya dan kemudian tunggu hasil ujian makmal. Saya minta orang ramai jangan panik kerana kes ini belum disahkan,” katanya.

Setakat semalam, tiada kes yang disahkan positif COVID-19 di Indonesia. – Agensi

Loading...