Pelajar Maldives Cedera Pengiring Acara Didenda

PETALING JAYA – Seorang penuntut warga Maldives dikenakan hukuman denda maksimum RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan seorang anggota pengiring acara, awal bulan lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmed Ushau Nooman, 25, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Magnus Thepnarat Zijie Leong, 27, di tempat letak kereta di McDonalds Bandar Utama, Damansara, di sini, pada jam 6.11 petang, 1 Oktober lalu.

Pelajar kolej swasta itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh secara tiba-tiba telah menumbuk muka mangsa sehingga cedera di bahagian gusi kerana tidak berpuas hati menunggu lama untuk masuk ke petak parkir dan perbuatan itu berjaya dirakam ‘Dashcam’ kereta mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak bertindak agresif walaupun dalam situasi tegang.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh, memohon hukuman ringan atas alasan itu adalah kesalahan pertama anak guamnya selain dia juga telah insaf atas perbuatannya. – BERNAMA

Loading...