Pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang Berisiko Lumpuh

SEREMBAN – Salah seorang pelajar yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti di Jalan Kuala Kelawang-Seremban dekat Bukit Tangga di sini pada 23 Mei lalu berisiko lumpuh separuh badan akibat mengalami kecederaan parah pada tulang belakang.

Pelajar jurusan Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Kuala Klawang itu, Iman Danial Abdullah, 17, sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Kosmo! Online difahamkan, pelajar tersebut merupakan anak yatim piatu yang dijaga oleh keluarga angkatnya di Presint 9, Putrajaya sebelum ditawarkan menyambung pelajaran di kolej berkenaan.

Pensyarah Kolej Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Luqman Zainal Rashid berkata, beliau dimaklumkan Iman Danial memerlukan wang sebanyak RM7,000 bagi menampung kos pembedahan untuk merawatnya.

“Pelajar ini mengalami kecederaan tulang belakang yang serius dan berisiko lumpuh dari paras pingang ke bawah. Kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM7,000 tidak termasuk kos rawatan susulan.

“Berikutan itu sebahagian pensyarah dan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Generasi Prihatin (Gen-P) mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantu Iman Danial bermula semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan seorang pelajar lelaki Kolej Vokasional Kuala Klawang maut, manakala berpuluh lagi pelajar kolej itu dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang cedera selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Kelawang-Seremban dekat Bukit Tangga kira-kira pukul 4 petang.

Pelajar yang maut ialah Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, yang berasal dari Kuala Selangor dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pihak polis.

Ketika kejadian, kesemua pelajar terbabit menaiki bas itu menuju ke Terminal Satu Seremban untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti semester dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pengerusi Gen-P, Mohd. Faizal Zainuddin berkata, pihaknya mula membuka sumbangan daripada orang ramai pada pukul 6.30 petang semalam dan lebih RM10,000 telah berjaya dikumpul setakat pagi ini.

Menurut beliau, wang sumbangan itu dijangka dapat diserahkan kepada penjaga Iman Danial di HTJ hari ini. – K! ONLINE

Loading...