Pelajar Hantar Pulang Mayat Kekasih Mengaku Langgar PKP

PELAJAR tingkatan lima yang ‘menghantar’ pulang mayat kekasihnya selepas terbabit kemalangan motosikal Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin, hari ini, atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh yang beralamat di Felda Keratong 5 di Rompin, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Remaja lelaki itu didakwa melanggar PKP pada 3 pagi, 12 April 2020 dengan bergerak dari rumahnya ke Kilometer 127 Jalan Kuantan-Seremban, iaitu lokasi dia terbabit dengan kemalangan yang menyebabkan kekasihnya maut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) peraturan sama iaitu denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhalimatun Saadiah Abdullah.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh tetapi peguam Ahmad Deniel Roslan yang mewakili pelajar itu merayu mahkamah membenarkan anak guamnya yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik itu dijamin.

“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan faktor usia tertuduh yang muda dan masih bersekolah, selain kesalahan yang dihadapi anak guam saya juga merupakan kesalahan boleh dijamin.

“Malah, ahli keluarga tertuduh memberi aku janji akan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah pada sebutan akan datang dan tertuduh sendiri bersedia dikenakan syarat tambahan, jika jaminan dibenarkan,” katanya.

Azizah membenarkan jaminan RM300 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sementara menunggu sebutan semula kes pada 11 Jun bagi mendapatkan laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Abang tertuduh menjelaskan jaminan yang diberikan.

Pada Ahad lalu, media melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di garaj rumah keluarganya di Felda Keratong 10 dipercayai ditinggalkan oleh kekasihnya yang panik selepas mereka kemalangan.

Kemalangan difahamkan berlaku pada 3.30 pagi berhampiran kilang kelapa sawit yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggangi mereka terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

Loading...