Pelaburan Tinggi, Pendapatan Isi Rumah Rendah?

GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoalkan kenapa purata pendapatan bulanan isi rumah di Pulau Pinang lebih rendah berbanding purata minimum kebangsaan sedangkan Pulau Pinang berada dalam kedudukan kedua paling tinggi dalam pelaburan.

Bendaharinya Ng Fook On berkata kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP itu baru baru ini dilaporkan memberitahu Pulau Pinang berada dalam kedudukan kedua paling tinggi dalam pelaburan terkumpul bagi sektor pembuatan.

“Namun yang menjadi persoalannya mengapa Pulau Pinang yang berada dalam kedudukan kedua paling tinggi dalam pelaburan terkumpul bagi sektor pembuatan, tetapi mengapakah purata pendapatan bulanan isi rumah negeri ini lebih rendah daripada purata minimum kebangsaan? Adakah kerajaan negeri hanya ‘syok sendiri’ semata-mata?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa dengan purata terbabit, ia menunjukkan rakyat Pulau Pinang tidak mendapat sebarang manfaat walaupun penggiat industri seperti pengilang-pengilang membuat pelaburan besar-besaran di negeri itu.

“Walaupun (Ketua Menteri) Lim Guan Eng dengan bangganya menyatakan bahawa nilai pelaburan terkumpul pada tahun ini adalah sebanyak RM9.9 bilion dan melebihi jumlah nilai pelaburan terkumpul yang direkodkan sepanjang tempoh 12 bulan pada tahun 2016, iaitu sebanyak RM 4.3 bilion.

“Sungguhpun begitu, adakah rakyat Pulau Pinang mengecapi sebarang manfaat daripada hasil pelaburan yang berjaya dikumpulkan oleh pihak kerajaan negeri?” soalnya.

Dengan itu Ng mendakwa Lim dilihat seperti tidak berani untuk membuat pengumuman bahawa purata pendapatan bulanan isi rumah negeri ini pada tahun 2016 hanya sebanyak RM6,771 dan nilai tersebut adalah lebih rendah daripada purata kebangsaan iaitu sebanyak RM6,985.

“Saya ingin memperingatkan Lim Guan Eng bahawa kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah 6.2 peratus dan kadar tersebut jauh melebihi jangkaan kadar yang ditetapkan iaitu sebanyak 5.7 peratus.

“Pertumbuhan nilai pelaburan Pulau Pinang juga merupakan hasil sumbangan daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Oleh itu, ketua menteri Pulau Pinang tidak perlu rasa bangga diri,” katanya. – BERNAMA

Loading...