Pelaburan Tidak Munasabah Dipindahkan Daripada LTAT

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan memindahkan pelabur yang difikirkan melabur di tempat yang tidak muhasabah sebagai usaha memperbetulkan akaun Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan mencari jalan atau tempat baharu untuk pelabur dengan tidak melibatkan unsur kepentingan seperti sebelum ini.

“Dahulu pelabur ada kepentingan, dialah Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, dan dia juga orang yang sama memegang saham besar syarikat.

“Pelaburan berkenaan ada kepentingan dan atas sebab itu kita mahu memperbetulkan keadaan tersebut,” katanya pada pemberita selepas Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana di sini tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.

Mohamad Sabu menambah, antara pelaburan tidak munasabah yang dibuat LTAT sebelum ini termasuklah melabur hampir RM500 juta bagi projek Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Jika wang tersebut berada di dalam tangan LTAT dan disimpan di dalam bank, pulangan yang bakal diterima ialah melebihi RM30 juta,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pertahanan dijangka membentangkan Kertas Putih Pertahanan Negara di persidangan Dewan Rakyat pada Disember depan.

Jelasnya, pelaksanaan kertas putih tersebut kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan ke Kabinet terlebih dahulu sebelum ke Dewan Rakyat.

Loading...