Pelaburan Dalam Negara Wujudkan 33,907 Pekerjaan Baharu

PUTRAJAYA – Usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara telah berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, 76 peratus merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

“Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini,” katanya menerusi laman Facebook rasminya pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga 23 April lalu, seramai 150, 597 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kejayaan ini melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat bulan April 2021 dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan video dan diberikan penerangan terperinci berkaitan inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, secara keseluruhan inisiatif penempatan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu melalui komitmen pelaburan telah mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Katanya, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai isu dan cabaran pekerjaan dalam sektor tidak formal.

“Hasil daripada 6,202 program libat urus yang dijalankan, bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja Gig yang mendapat perlindungan sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada tahun 2019 kepada 81,000 orang (2020) dan yang terkini 142,000 orang (2021),” katanya.

Tambahnya, pada mesyuarat itu, Grab Malaysia telah membentangkan strategi memperkasakan ekonomi domestik melalui proses digitalisasi.

“Empat program perintis yang dicadangkan mampu menyediakan lebih daripada 35,000 peluang menjana pendapatan bagi pekerjaan e-hailing, golongan orang kurang upaya (OKU), peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman.

“Mesyuarat mengambil maklum kesukaran golongan OKU dan rentan dalam mendapatkan akses kepada peluang penjanaan pendapatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, NEC telah meminta Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengkaji langkah-langkah termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisiatif dapat dijalankan dengan kadar yang segera.

“Program KerjayaUP yang dilancarkan pada 12 April lalu, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta.

“Sehubungan itu NEC bersetuju memperluaskan program ini secara lebih agresif dengan sasaran yang lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan sasar untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, komposisi keahlian NEC dimantapkan lagi dengan tiga ahli tetap tambahan yang mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi telah dilantik.

Mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain, Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi dan Pengasas bersama GoGet, Francesca Chia.

Beliau berkata, fasa peringkat perancangan dan ‘key strategy formulation’ telah selesai pada suku pertama tahun ini dan tumpuan kerajaan kini diberikan kepada langkah pelaksanaan.

“Saya telah mengingatkan kementerian dan agensi kerajaan untuk terus memberikan perhatian serta keutamaan kepada perkara-perkara berkaitan inisiatif pekerjaan.

“NEC adalah inisiatif yang dipacu oleh indeks pencapaian utama (KPI), ia harus disegerakan tanpa penangguhan kerana antara tumpuan utama kita pada tahun ini adalah menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada rakyat,” katanya. – Sinar Harian