Pelabur Swasta Berminat Dengan Projek RTS

SINGAPURA – Kerajaan Malaysia menerima pelbagai cadangan daripada pelabur swasta bagi projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS), kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

“Ya, kita sedang berbincang dengan beberapa pelabur swasta. Terdapat pelbagai cadangan. Kita masih meneliti cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita semasa lawatan beliau ke cadangan tapak RTS Woodlands North, di sini, hari ini.

Beliau diiringi oleh rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan.

Terdahulu, pada sidang media bersama, Loke berkata, kerajaan menimbang untuk melibatkan sektor swasta dalam projek tersebut, yang menelan kos RM4 bilion dan akan ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Malaysia dan Singapura hari ini secara rasmi memeterai perjanjian tambahan bagi menangguhkan projek tersebut sehingga 30 September tahun ini.

Malaysia akan membayar balik kepada Singapura kira-kira RM2 juta menjelang 31 Julai, 2019, sebagai kos terbantut yang ditanggung akibat penangguhan selama 6 bulan itu.

Mengulas mengenai kunjungan beliau ke tapak itu, Loke berkata, ia membantunya memberikan pemahaman yang lebih baik tentang keseluruhan projek tersebut.

“Sudah tentunya ia perlu munasabah untuk menyepadukan kedua-dua perkhidmatan dari Johor Bahru ke Singapura. Apabila kita sampai di sini kita perlu menyepadukannya atau anda perlu menghubungkannya kepada sistem MRT dan ia menyediakan hubungan yang baik.

“Saya berkongsi dengan menteri Singapura bahawa apa yang sama penting adalah hubungan di bahagian Johor Bahru. Bagi Johor Bahru, kereta api itu akan berakhir di Bukit Chagar dan hubungan ke keseluruhan Johor Bahru juga penting,” katanya.

Lauan RTS sejauh 4 kilometer itu dirancang untuk menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke stesen Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast MRT Singapura.

Loke berkata, sekiranya projek RTS diteruskan, Bukit Chagar akan menjadi hab pengangkutan yang akan menghubungkan keseluruhan Johor Bahru dengan Transit Bas Rapid (BRT), projek yang dicadangkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda).

Irda dilaporkan bersedia untuk melancarkan pelan menyeluruh bagi BRT yang bernilai RM2.56 bilion yang bertujuan mengurangkan kesesakan dan pencemaran dan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di bandar raya itu.

Loke berkata, beliau akan memaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet yang lain mengenai RTS pada mesyuarat mereka akan datang.

Semasa tempoh penggantungan itu, Malaysia akan memutuskan sama ada ia berhasrat untuk meneruskan projek Laluan RTS seperti yang dirancang asalnya atau mencadangkan perubahan kepada skop dan struktur projek itu.

Malaysia yang meminta penangguhan itu pada April perlu membayar lebih daripada S$66 juta (RM200 juta) sekiranya memilih untuk menamatkan projek tersebut.