Pelabur Asing Lupus RM598.1 Juta Saham Tempatan Minggu Lalu

KUALA LUMPUR – Para pelabur luar pesisir terus mengurangkan pendedahan dalam saham-saham disenaraikan sebanyak RM598.1 juta pada minggu lalu.

Semasa bursa dibuka semula pada Selasa ini selepas cuti Hari Raya Aidil Adha, pelabur membawa keluar RM209.6 huta dalam ekuiti-ekuiti tempatan di tengah-tengah pertikaian geopolitik di Argentina dan Hong Kong.

Ia merupakan aliran keluar bersih tertinggi sepanjang minggu, menjadikan bursa tempatan susut di bawah 1,600 mata untuk ditutup kepada 1,592.88 mata – paras terendah sejak akhir Ogos 2015.

MIDF Research berkata, paras jualan asing menurun pada hari Rabu kepada RM73.7 juta selepas Presiden Donald Trump menangguhkan beberapa tarif ke atas produk-produk China.

Malah, pegawai-pegawai China juga merancang untuk mengadakan mesyuarat secara bersemuka dengan Washington pada bulan September, menandakan rundingan perdagangan masih berlangsung meskipun ancaman tarif baharu oleh Amerika Syarikat.

Tetapi, angka jualan asing meningkat semula kepada RM196.8 juta pada hari Khamis ekoran kebimbangan ekonomi Amerika Syarikat mungkin terjerumus dalam kemelesetan disebabkan hasil Perbendaharaan negara itu menurun.

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti jualan bersih susut kepada RM118.1 juta pada hari Jumaat selepas Malaysia mengumumkan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini berkembag 4.9 peratus tahun ke tahun, menjangkaui unjuran.

“Bagi asas bulan ke bulan, Ogos menyaksikan aliran keluar sebanyak RM1.90 bilion, menjadikan aliran keluar aliran asing dari Malaysia mencecah RM6.64 bilion atau 57 peratus daripada jumlah aliran keluar asing pada tahun lalu,” kata MIDF Research.

Tambahnya, penyertaan pelabur asing mingguan susut 11.9 peratus dalam nilai dagangan purata harian (ADTV) kepada RM982.2 juta.

Ia merupakan penurunan terkecil dalam kalangan kumpulan-kumpulan pelabur memandangkan pasaran runcit dan dana-dana institusi tempatan menyaksikan kejatuhan mingguan ADTV lebih daripada 15 peratus.

Loading...