Pelabur Asing Lupus RM275.7 Juta Minggu Lalu

KUALA LUMPUR – Pelabur-pelabur asing melupuskan sejumlah RM275.7 juta ekuiti tempatan minggu lalu, hampir empat kali ganda berbanding RM72 juta yang dijual pada minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad Research berkata, Isnin mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM96.3 juta kerana pelabur menunggu data dari Amerika Syarikat, Eropah dan China yang mungkin menonjolkan prospek global perkembangan ekonomi.

Menurutnya, jualan bersih asing memuncak pada hari Selasa kepada RM102.9 juta memandangkan Malaysia dan pasaran serantau yang lain tutup pada hari Rabu.

Sentimen juga terjejas disebabkan penurunan Indeks Pengurus Pembelian di China.

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran yang dibuka semula pada hari Khamis menyaksikan pelabur asing terus membawa keluar ekuiti tempatan sebanyak RM88.8 juta, selari dengan rakan serantau lain, iaitu Thailand dan Indonesia.

Katanya, pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia pada hari Jumaat dan membeli ekuiti tempatan sebanyak RM12.2 juta, mengakhiri penjualan lima hari.

“Prestasi bursa tempatan pada hari itu sebahagiannya dipengaruhi oleh lebihan dagangan April Malaysia sebanyak RM14.4 bilion, keuntungan terbesar sejak Oktober 2018,” menurut MIDF Research.

Malaysia merekodkan aliran keluar asing sebanyak RM1.49 bilion, menjadikan bulan ketiga-tiga trend jualan oleh pelabur luar.

Aliran keluar dana dari Malaysia bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini ialah RM2.76 bilion berbanding aliran masuk RM3.71 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Antara empat pasaran ASEAN yang dipantau, Malaysia masih mengekalkan pasaran terbesar aliran keluar bersih.

Sementara itu, dalam kalangan pasaran Asia yang dijejaki, India masih menerima aliran masuk asing tertinggi iaitu hampir AS$10 bilion meskipun pilihan raya umum negara itu sedang berlangsung sehingga 23 Mei ini.

Loading...