Pekerja Malaysia Mahu Pulang Perlu Disaring Di Singapura

PUTRAJAYA – Semua rakyat Malaysia yang ingin pulang ke negara ini susulan keputusan Kerajaan Singapura memulakan Sekatan Pergerakan selama empat minggu, bermula esok hingga 4 Mei nanti, tidak boleh berbuat demikian sehingga mereka disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 oleh pihak perkhidmatan kesihatan republik itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu selaras dengan perjanjian awal antara Malaysia dengan Singapura sebelum ini, iaitu mana-mana rakyat Malaysia yang mahu pulang semula ke negara ini perlu menjalani saringan kesihatan di republik itu terlebih dahulu.

“Setakat hari ini, yang kita tahu walaupun puluhan ribu berhasrat untuk pulang, tapi difahamkan semalam hanya tiga saja yang merentasi sempadan.

“Arahan daripada kita mereka tidak boleh pulang lagi selagi tidak mendapat kelulusan bahawa mereka bebas jangkitan COVID-19 daripada Singapura.

“Itu perjanjian awal antara kita dengan Kerajaan Singapura, bahawa merkea sebelum pulang mesti membuat saringan dan mereka (Kerajaan Singapura) mesti mengeluarkan surat yang menyatakan individu itu lepas saringan atau negatif dari segi (jangkitan) COVID-19 ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri, berkata ada sedikit perubahan pada perjanjian itu dan pihaknya sudah meminta Kementerian Luar, yang mempunyai jawatankuasa kerja antaranya dengan rakan sejawat di Singapura serta wakil Kementerian Sumber Manusia, untuk berunding mengenai syarat baharu.

Katanya, beliau yakin, esok Kementerian Luar akan memaklumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan mengenai syarat yang dipersetujui.

“Setakat hari ini, kita masih tidak membenarkan rakyat kita memasuki negara ini, sebelum selesai rundingan antara Kementerian Luar kita dan Singapura serta Kerajaan Johor yang juga terbabit,” katanya.

BH hari ini melaporkan, pekerja Malaysia di Singapura dijangka mula bergerak balik hari ini, dengan berjalan kaki merentasi tambak Johor, selepas republik itu mengambil tindakan tegas menutup sekolah dan beberapa sektor bagi menghentikan penularan wabak COVID-19 selain mengenakan Sekatan Pergerakan mulai esok.

Ia berikutan, pekerja terbabit dikatakan tempoh sebulan untuk sekatan itu adalah jangka masa yang lama dan segala kemungkinan boleh berlaku termasuk tiada pekerjaan.

Semalam, media turut melaporkan, kebanyakan syarikat besar dalam sektor perkhidmatan penting akan menyediakan tempat tinggal bagi pekerja sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata semua 202 pelarian etnik Rohingya yang ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi, akan dikuarantinkan di pulau peranginan itu.

Beliau berkata, ia berikutan mereka sudah berada di perairan negara, pelarian terbabit menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia.

“Kementerian Luar, Jabatan Imigresen dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah ditugaskan untuk membantu pelarian terbabit dan isu yang dihadapi mereka,” katanya. – BH Online