Pekerja Lapangan Terbang Ditampar Oleh Penumpang

CHINA – Gara-gara terlalu berang dengan peraturan had saiz bagasi, seorang wanita dengan selambanya menampar seorang pegawai lapangan terbang dalam kejadian di  Lapangan Terbang Hangzhou, Xiashanan.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, wanita terbabit mengaku menampar pekerja terbabit dan ditahan selama tujuh hari sebelum dikenakan denda sebanyak 200 yuan (RM124).

Portal Daily Mail melaporkan, penumpang wanita yang bernama Zhang mahu membawa bagasinya masuk ke dalam pesawat.

Namun, pegawai wanita berkenaan telah menahannya dan memaklumkan bahawa bagasinya tidak boleh dibawa masuk kerana melebihi had saiz yang telah ditetapkan.

Berang dengan teguran itu, Zhang menampar muka pegawai berkenaan secara tiba-tiba.

Mangsa kemudian terus berlalu pergi selepas insiden itu dan dibawa ke hospital oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, netizen tempatan meluahkan rasa tidak puas hati akan denda yang dikenakan terhadap wanita berkenaan. – MYNEWSHUB.CC