Dipaksa Tampar Muka Sendiri 100 Kali, Makan Cili

WUXI, China – Sekumpulan pekerja di sebuah salon kecantikan dipaksa menampar muka sendiri sebanyak 100 kali kerana mereka gagal mencapai sasaran jualan.

Bekas pengurus Salon Rambut Runfa dikenali sebagai Pan di sini mendedahkan pekerja dipaksa menjual produk rambut bernilai 3,000 hingga 4,000 yuan (RM1,800 hingga RM2,400) setiap hari atau berdepan hukuman.

Mereka akan dikenakan denda wang tunai, dipaksa memakan cili dan bawang, meminum cuka serta terpaksa berlari sejauh 10 kilometer jika gagal mencapai sasaran itu, katanya kepada sebuah rangkaian televisyen di Chengdu minggu lalu.

“Kami perlu menampar muka sendiri mengikut kehendak bos. Jika muka tidak cukup merah atau kesannya tidak memuaskan, kami didenda 500 yuan (RM300) pula,” kata Pan.

Pan dan beberapa rakannya yang dipecat kerana membantah hukuman tersebut telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Syarikat di China memang terkenal mengenakan hukuman memalukan pekerja termasuk merangkak di jalan raya dan memakan cacing. – Agensi/Kosmo Online