Pejabat PM ‘Hapus’ Arkib Ucapan Najib

HILANG… Ketiadaan segala ucapan rasmi dan kenyataan media bekas-bekas perdana menteri dari laman web Pejabat Perdana Menteri (PMO) mencetuskan tanda tanya sama ada ia berniat dendam.

Ia didedahkan seorang pengguna laman itu yang juga penganalisis politik tempatan, Dr. Kamarul Zaman Yusoff dalam hantaran terbaharu menerusi akaun sosial Facebook hari ini ketika melakukan semakan rujukan ilmiah.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata, semakan terkini di laman tersebut mendapati semua ucapan dan kenyataan media Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi tiada dalam kolum koleksi ucapan.

Bagaimanapun menurut beliau, tindakan pelik oleh pentadbir laman PMO itu sebenarnya menyukarkan mahasiswa dan pengkaji politik Malaysia untuk melakukan penulisan tesis yang menjadikan laman tersebut sebagai rujukan.

“Selaku pengkaji politik Malaysia, saya kerap kali mengakses laman PMO di pautan https://www.pmo.gov.my/home.php untuk semak ucapan dan kenyataan media perdana menteri atau bekas perdana menteri.

“Laman web rasmi ini memang sangat bermanfaat kepada pengkaji politik Malaysia kerana ia memuatkan semua ucapan dan kenyataan media rasmi semua perdana menteri atau bekas perdana menteri,” kata Dr. Kamarul Zaman.

Semakan terhadap laman web tersebut malahan mendapati koleksi ucapan hanya bermula pada 21 Mei lalu dengan ucapan sulung Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

Dr. Kamarul Zaman berkata, tidak munasabah tindakan padam ucapan bekas-bekas perdana menteri bagi hilang terus segala rekod Najib dan Abdullah sewaktu mereka menjadi Perdana Menteri dari laman web rasmi PMO ini.

“Harapan saya adalah arkib ucapan dan kenyataan media rasmi bekas perdana menteri ini akan muncul kembali. Jika tidak susah pelajar PhD dan sarjana mengenai politik Malaysia mahu menulis tesis mereka nanti,” katanya.

Selain Najib dan Abdullah, Malaysia sudah menyaksikan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussain dan Tun Hussein Onn sebagai perdana menteri manakala Mahathir pernah mengisi jawatan itu sebelum ini. – Mynewshub.TV

* Video bawah sekadar hiasan…