Pejabat Mufti WP Pandang Serius Kenyataan 2 Selebriti

PUTRAJAYA – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memandang serius kenyataan kontroversi dua selebriti membabitkan status gender dan agama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, berkata ia membabitkan tindakan seorang artis yang mendakwa dirinya transgender dan tanpa segan silu menzahirkan rasa bangga menjadi seorang pondan.

Beliau berkata, begitu juga kenyataan seorang usahawan kosmetik yang menyatakan niat untuk menukar agama.

“Kedua-dua kenyataan individu ini dilihat memberi kesan mendalam terhadap umat Islam di negara ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Luqman berkata, segelintir masyarakat mula keliru dan beranggapan kedua-dua perbuatan itu adalah normal serta tidak menyalahi agama.

Katanya, perbuatan itu sekali gus dibimbangi akan membuka kepada pintu keburukan yang lain. 

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ingin menasihatkan umat Islam supaya sentiasa memelihara maruah diri dan berhati-hati mengeluarkan kenyataan kepada umum.

“Dalam Islam, setiap percakapan yang mengundang keburukan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain, akan dinilai sebagai suatu dosa dan Allah SWT melarang mendedahkan keaiban diri sendiri kepada umum,” katanya. 

Luqman turut menasihatkan individu yang terlintas untuk menukar agama supaya bertenang dan berehat seketika daripada kesibukan, dengan mencari ketenangan serta merenung kembali dosa silam.

Katanya, mereka dinasihatkan untuk melafazkan istighfar berulang kali, berdoa, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. 

Beliau berkata, masyarakat perlu menghormati norma masyarakat di negara ini yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam perbezaan gender antara lelaki dengan wanita.

“Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil kesempatan untuk mengingatkan umat Islam supaya menghormati perlembagaan serta undang-undang khususnya berkaitan jenayah syariah,” katanya.

Beliau juga mengajak umat Islam untuk bersama-sama memelihara maruah diri dan selain tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara yang boleh membuka keaiban diri sendiri sehingga mendatangkan fitnah kepada agama.

“Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan petunjuk kepada kita semua,” katanya. – BH Online