Peguam Tarik Diri Daripada Inkues Adib

SHAH ALAM – Peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di sini.

“Dengan penarikan diri, saya percaya langkah untuk memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid, terbatal,” katanya.

Seorang lagi peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharun, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil memberi keterangan ketika ini.

Pada 17 Mei lepas, Rofiah membenarkan Dr. Shahrom dipanggil semula memberi keterangan berikutan permohonan Syazlin.

Prosiding inkues itu bersambung petang ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.