Peguam Sultan Kelantan Nafi Perkahwinan Masih Sah

SINGAPURA – Barisan peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menolak laporan yang mendakwa perkahwinan antara baginda dan wanita model Rusia, Rihana Oxana Gorbatenko masih sah, menurut Channel News Asia (CNA) hari ini.

Dalam kenyataan bertarikh 29 Julai lalu, Eversheds Harry Elias memaklumkan bahawa Tetuan Alexander Dobrovinky dan Rakan yang mewakili Rihana sudah menerima salinan sijil penceraian talak tiga pada 11 Julai lalu.

“Kami adalah barisan peguam mewakili baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan kami bertindak mengikut titah perintah baginda,” sebut kenyataan itu seperti dipetik CNA hari ini.

Kenyataan itu menambah: “Kami menerima titah perintah untuk tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung sebarang dakwaan yang tidak benar atau palsu yang dibangkitkan dalam media sosial.

“Sebagai peguam mewakili baginda (Sultan Muhammad), kami menyeru supaya semua pihak menghormati privasi baginda.”

Bekas Yang di-Pertuan Agong Ke-15 itu melangsungkan perkahwinan dengan bekas ratu cantik Rusia itu November tahun lalu.

Rihana kemudian melahirkan bayi lelaki pada Mei lalu.

Bagaimanapun pada 20 Julai lalu, Koh Tien Hua peguam dari firma Tetuan Eversheds Harry Elias LLP menerusi kenyataan memberitahu bahawa Sultan Kelantan yang berusia 49 tahun itu telah bercerai talak tiga dengan Rihana pada 22 Jun lalu.

Katanya, lafaz cerai itu dilakukan di hadapan saksi beragama Islam mengikut undang-undang Syariah yang ditetapkan tanpa mendedahkan tempat penceraian itu berlangsung.

Namun ketika proses penceraian itu, Rihana tidak berada di sisi Sultan.

Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Sijil perakuan penceraian bertarikh 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

Menurut Tien Huam, Rihana telah dimaklumkan mengenai penceraian menerusi peguamnya di Rusia.

“Belum ada sebarang bukti biologi mengaitkan Sultan sebagai bapa biologi kepada bayi berusia dua bulan itu,” katanya lagi.

Sebelum ini Daily Mail melaporkan minggu lalu bahawa kawan Rihana mendakwa perkahwinan Rihana dengan Sultan Muhammad V masih sah manakala peguam Rihana Evgeny Tarlo mencabar peguam di Singapura membuktikan mereka sebenarnya berkhidmat dan mewakili untuk baginda dalam isu tersebut.

“Saya tak kenal siapa Koh Tien Hua sebenarnya dan atas hak apa dia sibuk mencampuri urusan kehidupan peribadi Oksana.

“Oksana adalah wanita yang sudah berkahwin dan Faris (sultan Kelantan) adalah bapa kepada bayinya,” dakwa peguamnya.

Bagaimanapun rakan Rihana meminta Sultan menjalani ujian DNA untuk membuktikan beliau bukan bapanya.

Oksana juga dikatakan bersedia untuk ujian DNA bersama baginda sambil percaya ujian DNA mampu membuktikan baginda Sultan Muhammad adalah bapa biologi kepada bayinya yang sebelum ini dinafikan bukan anak baginda. – Agensi

Loading...