Peguam Rugi Lebih RM100K Ditawar Pakej Percutian Tidak Wujud

KUANTAN – Seorang peguam wanita mengalami kerugian RM107,500 selepas diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan pakej percutian yang tidak wujud ke Korea.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 49, telah dihubungi suspek pada bulan Jun lalu yang menawarkan khidmat pengurusan percutian ke Korea untuk 31 individu.

“Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu telah membuat pembayaran tunai dan memasukkan RM107,500 ke dalam akaun suspek untuk pakej percutian 31 individu.

“Namun apabila tiba tarikh yang dijanjikan baru-baru ini, suspek, 45, telah memberikan pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang merasa ditipu kemudian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Dalam kes berasingan pula, seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun menanggung kerugian RM10,000 selepas ditipu ‘polis’ yang mendakwa dia mempunyai waran tangkap kerana terlibat dengan perjudian haram dan pengubahan wang haram.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis kira-kira 2 petang Khamis lepas.

“Suspek kemudian telah meminta maklumat bank dan jumlah wang setiap akaun bank mangsa sebelum talian disambungkan kepada pegawai atasan,” katanya.

Katanya, suspek kedua telah meminta mangsa memasukkan wang RM10,000 ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan.

Susulan itu, katanya mangsa telah menerima panggilan lagi daripada suspek yang meminta mangsa memasukkan kesemua baki wang di dalam banknya ke akaun yang diberi suspek semalam bagi membuat semakan penglibatan pengubahan wang haram.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...