BONGKAR… Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan, siasatan pihak polis dapati peguam syarikat pemaju One City Development Sdn. Bhd. (One City) telah mengupah sekumpulan 50 lelaki.

Kumpulan samseng tempatan tersebut diarahkan untuk melakukan pencerobohan dan kemudian bertindak pantas mengawal seluruh kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, di Putra Height, Subang Jaya, Selangor pada Isnin lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan itu untuk melakukan kerja ceroboh sebelum ambil alih dan akhirnya kawal kuil tersebut.

“Sebanyak kira-kira 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300,” katanya dalam sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, dua orang peguam syarikat itu adalah antara 21 individu yang telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes tersebut. One City merupakan pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan ketika ini.

“Tindakan ceroboh yang amat tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kemarahan penganut Hindu sehingga timbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda. Kita kesal dengan tindakan cuai yang diambil oleh pemaju.

“Sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” kata Muhyiddin. Ditanya sama ada wang upah berkenaan diberi oleh pemaju, Muhyiddin berkata pihak KDN tidak menolak kemungkinan itu.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, 23 buah kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut berjaya dipecah dan dirosakkan perusuh sebelum dikawal pasukan polis yang dikerah untuk kawal keadaan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...