Peguam Negara Tubuh Pasukan Petugas Khas

KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau siasatan polis berhubung dakwaan yang dibuat keatas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dibawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu tidak akan menjejaskan ‘whistle blowers’ atau mana-mana saksi yang berwibawa daripada tampil membantu siasatan supaya kebenaran dapat ditegakkan.

“Pejabat Peguam Negara menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan wartawan berkenaan aduan yang telah dibuat keatas Ketua Pengarah SPRM.

“Kami telah menubuhkan ‘task force’ pada 16 Oktober lalu untuk memantau siasatan kes itu berikutan tuduhan itu sesuatu yang amat serius dan boleh memberi kesan kepada integriti beliau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohamed Apandi memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beliau atas kapasitinya sebagai Pendakwa Raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menegakkan keadilan.

Media baru-baru ini melaporkan polis mengesahkan menerima aduan mengenai seorang pegawai kanan SPRM hubungan sulit dengan isteri orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik berkata, siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima pihaknya.

“Ada (laporan polis), kita akan ambil langkah-langkah siasatan. Macam biasalah.. bila ada laporan (laporan polis), we will look into it (kita akan siasat),” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan ada individu membuat laporan polis selepas menonton satu klip video di YouTube membabitkan pegawai kanan SPRM dan wanita terbabit.

Pengadu mendakwa hubungan sulit itu menyebabkan rumah tangga wanita yang mempunyai dua anak itu musnah dan bercerai dengan suaminya pada 28 September lalu. – MYNEWSHUB.CC

Loading...