Peguam Negara Nafi Tak Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tiada tindakan diambil Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April lalu, adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau berkata, sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.

“Pada 17 Mac 2020, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melalui siaran media memaklumkan bahawa keempat-empat loji rawatan air di Sungai Selangor telah dihenti tugas bermula jam 7 malam 17 Mac lalu, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Selangor dijalankan.

“Sebanyak 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg. Sungai Dua, Rawang sudah dikeluarkan,” katanya.

Idrus berkata, kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara.

Selanjutnya, katanya, dalam kejadian terbaharu pada 3 September lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi-agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. – BERNAMA

Loading...