Peguam Jho Low Cuba Sekat Tayangan ‘The Kleptocrats’

KUALA LUMPUR – Peguam Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berusaha untuk menghentikan tayangan filem The Kleptocrats, menurut laporan Hollywood Reporter.

The Kleptocrats adalah filem dokumentari berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diarahkan oleh Sam Hobkinson dan Havana Marking.

Media hiburan itu memaklumkan peguam ahli perniagaan dalam pelarian itu telah menghantar surat kepada beberapa pengedar dan platform untuk meminta dokumentari itu dikeluarkan daripada senarai mereka.

Menurut Hollywood Reporter, firma undang-undang yang berpangkalan di London Schillings menuduh The Kleptocrats memfitnah pelanggannya dengan mendakwa bahawa Jho Low adalah tokoh utama dalam skandal tersebut.

Firma peguam itu turut mendakwa dokumentari tersebut melanggar undang-undang hak cipta dalam penggunaan rakaman video dan berpotensi menjejaskan pelbagai prosiding undang-undang yang sedang berjalan.

Media itu melaporkan pembuat filem tersebut bagaimanapun mendakwa surat itu hanyalah “percubaan untuk menakutkan”.

“Mengetahui bagaimana semangat Schillings yang percaya kepada kedaulatan undang-undang dan keadilan, saya terkejut jika mereka tidak bersedia membantu agensi penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia untuk mencari keadilan bagi anak guamnya, Jho Low dalam apa cara sekali pun, hingga peranan Jho Low dalam dakwaan penipuan kewangan terbesar dalam sejarah terjawab,” kata penerbit filem itu, Mike Lerner dari Roast Beef Production.

Tambah Lerner, jenayah membabitkan 1MDB telah memudaratkan kehidupan rakyat biasa Malaysia yang begitu banyak berjuang untuk mengekalkan keadaan hidup yang baik untuk keluarga mereka daripada ketamakan dan rasuah.

Menurut 1MDB, pangkalan data filem dan televisyen dalam talian, The Kleptocrats turut membabitkan wartawan penyiasat dari New York Times, Wall Street Journal dan The Hollywood Reporter. – Agensi

Loading...