Bekas Pegawai Timbalan Menteri Skodeng Ditahan – Polis

BEKAS pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang dipecat selepas pendedahannya dipercayai mengambil gambar bawah skirt seorang…

BEKAS pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang dipecat selepas pendedahannya dipercayai mengambil gambar bawah skirt seorang wanita telah ditahan.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan hal ini hari ini.

Tangkapan dibuat sekitar jam 1 tengah hari di kawasan sekitar Publika, Solaris Dutamas.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan insiden itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

“PDRM ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video kes ini kerana kes ini masih dalam siasatan PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman memecat seorang pegawainya susulan perilaku keji individu berkenaan di sebuah kedai cermin mata.

Azis dilaporkan berkata beliau mengambil maklum satu laporan polis dan rakaman video CCTV yang tular dalam media sosial dan memecat pegawai berkenaan serta merta kerana tindakan itu menjejaskan imej dan kredibiliti beliau selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri serta pejabat Timbalan Menteri.

Video berdurasi lebih satu minit yang memaparkan perilaku pegawai berkenaan merakam video di bawah skirt petugas wanita di sebuah kedai cermin mata ​​​​​​tular dalam media sosial. – Bernama/Mynewshub.tv

Loading...