Pegawai, Peneroka Felda Terlibat Siasatan Bunuh Gajah Pygmy

KUALA LUMPUR – Felda mengesahkan seorang pegawai dan dua penerokanya disiasat polis berhubung insiden menembak mati seekor gajah pygmy di Tawau, Sabah.

Mereka adalah antara enam suspek yang kini ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

Felda dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam membantu siasatan yang
masih lagi berjalan.

“Pihak pengurusan Felda sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya sekiranya kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden berkenaan.

“Kami ingin menegaskan perbuatan membunuh haiwan berkenaan adalah bertentangan sama sekali dengan Dasar Perlindungan Dan Penjagaan Alam Sekitar yang merupakan sebahagian daripada 15 Polisi Kemampanan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) yang menjadi amalan Felda.

“Pihak pengurusan Felda juga melaksanakan amalan prosedur standard (SOP) dalam aspek kawalan hidupan liar termasuk gajah yang sering berlaku di kawasan Felda,” katanya.

Ini melibatkan penggunaan pagar elektrik dan juga parit gajah serta amalan pemindahan gajah jika diperlukan tanpa mengancam nyawanya.

Tambahnya, Felda juga secara aktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) dalam menyediakan latihan dan seminar kepada petugas untuk meningkatkan kemahiran dan kesiagaan dalam menangani ancaman hidupan liar di ladang.

Malah, Felda sentiasa mematuhi semua garis panduan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan alam sekitar sebagai manifestasi komitmen Felda dalam memastikan aspek pengurusan ladang dilaksanakan secara lestari.

Ini dapat dibuktikan sehingga kini, 163 Rancangan Felda telah berjaya mendapat pensijilan MSPO setelah memenuhi aspek-aspek akreditasinya termasuk pematuhan kepada polisi berkaitan kelestarian alam sekitar.

Baru-baru ini, polis menahan enam lelaki termasuk seorang pendatang tanpa izin yang disyaki terbabit dalam kes tembak seekor gajah yang ditemui mati di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, kesemua suspek yang berumur lingkungan 48 hingga 68 tahun ditahan atas maklumat awam.

Loading...