Pegawai Imigresen Kasari Warga Asing Dibuang Kerja

111

KUALA LUMPUR – Pegawai Imigresen yang bertindak kasar ke atas seorang warga asing ketika berurusan di kaunter jabatan tersebut di Johor boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang kerja.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali berkata susulan kejadian itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenakan tindakan tahan kerja ke atas pegawai tersebut dengan serta merta.

“Tindakan serius akan diambil tanpa kompromi termasuk buang kerja terhadap pegawai yang melakukan kesalahan.

“Pihak jabatan tidak akan berkompromi terhadap pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan, serta tidak akan melindungi mereka yang melakukan kesalahan sedemikian,” katanya.

Hari ini tular di media sosial video tindakan seorang pegawai Imigresen yang bertindak kasar terhadap seorang lelaki dipercayai warga Myanmar di Pejabat Imigresen di Wisma Persekutuan Johor Bahru pagi tadi.

Mustafar berkata, tindakan pegawai tersebut jelas menjejaskan imej jabatan dan bertentangan dengan etika jabatan serta perkhidmatan awam.

Menurutnya, tindakan tatatertib berdasarkan Perturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002 boleh dikenakan terhadap pegawai tersebut. – BERNAMA