Pecah Tradisi, Bola Sepak Pilihan Utama Gadis Somalia

KIRA-KIRA 60 orang gadis Somalia memilih bola sebagai sukan utama yang dimainkan dalam kalangan mereka dan ada impian besar mahu menjadi pasukan yang setanding di peringkat dunia.

Lapor stesen Channel News Asia, keputusan berani ini diambil pada saat negara tersebut sedang diancam oleh kumpulan militan al-Shabaab dan rangkaian pengganas al-Qaeda yang sering berbalas serangan di Mogadishu.

Malahan, permainan bola sepak dianggap sebagai bentuk hiburan buruk yang boleh membawa kepada kejahatan apatah lagi apabila dimainkan oleh golongan wanita.

Wanita di negara benua Afrika itu juga tidak dibenarkan memakai seluar pendek, seluar panjang atau kemeja-T pada khalayak umum.

Hal ini kerana ulama tempatan berpendapat, pakaian sukan bukan pakaian yang sesuai untuk wanita Islam.

 “Kami sangat takut memakai seluar pendek dan kemeja-T semasa di padang. Sangat sukar untuk berjalan dengan normal ketika memakai pakaian sukan.

“Ini kerana kami tidak pernah berpakaian sebegini dalam masyarakat,” kata Hibaq Abdukadir, 20, yang juga salah seorang yang menyertai kelab bola sepak wanita pertama di Golden Girls Centre di Mogadishu.

Bagi kebanyakan gadis Somalia tersebut mereka sentiasa mahu mencuba bermain bola sepak namun jarang sekali diberikan peluang.

“Saya telah bermain bola sepak selama tujuh bulan namun keluarga saya baru mengetahui tentangnya dua bulan lalu. Saya selalu mengelak memberitahu ibu ke mana saya pergi

“Ini kerana dia tidak membenarkan saya bermain bola sepak. Namun kini, dia telah boleh menerimanya walaupun ahli keluarga yang lain tidak gembira,” kata Sohad Mohamed, 19.

Pengasas bersama pasukan bola sepak wanita berkenaan, Mohamed Abukar Ali, 28, berkata, dia mendapat inspirasi untuk menubuhkan kelab itu selepas menyedari Somalia tiada pemain bola sepak wanita.

“Kami cuba untuk menjadikan kumpulan remaja ini sebagai pemain bola sepak wanita profesional pertama Somalia. Bagaimanapun ia bukan tugas mudah.

“Apabila remaja ini terpaksa menghadiri sesi latihan, kami perlu menjemput dan menghantar mereka pulang kerana mereka wanita dan kami fikir tentang keselamatan mereka,” ujarnya.

Baginya, cabaran yang dihadapi bukanlah penghalang untuk tidak mendedahkan sukan ini kepada wanita Somalia.

Latihan bola sepak akan diadakan pada awal pagi di sebuah padang bola di Mogadishu. Pemain-pemain wanita tersebut akan menukar pakaian mereka dengan memakai jersi bola sepak sebaik tiba di tempat latihan.

Kebiasaanya, latihan berbentuk menggelecek bola antara kon berwarna dan melakukan senaman sit-up.

Kebanyakan rakyat Somalia berhampiran kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan remaja-remaja tersebut namun masih tetap melihat mereka menjalani latihan.

“Saya datang untuk menyaksikan mereka menjalani latihan tetapi terus terang saya tidak suka melihat kakak saya berpakaian sedemikian.

 “Pakaian tersebut tidak sesuai untuk tontonan masyarakat kerana mereka kelihatan telanjang,” kata Yusuf Abdirahman yang tinggal berhampiran padang bola.

Seorang lagi penonton, Mohamed Yahye turut berkongsi pendapat dengan memberitahu, tidak salah golongan wanita bermain bola sepak tetapi apa yang patut diubah adalah cara mereka berpakaian.

Mereka perlu memakai pakaian longgar dan menutup aurat. Pasukan bola sepak kebangsaan wanita Somalia tidak mempunyai pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mereka juga tidak pernah bermain dalam perlawanan antarabangsa tunggal. Kadar penyertaan sukan ini menurun pada tahun 2006.

Badan pentadbir sukan di negara ini tidak memberikan banyak sokongan untuk permainan tersebut dan menghadapi cabarannya sendiri. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...