PDRM Tumpas Sindiket Seludup Migran Terbesar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: COVID 19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata operasi dilaksanakan secara serentak menerusi operasi khas, Op Pintas Selatan 2020 (Johor), Op Benteng Lintang (Perak) dan Op Arakan (Pulau Pinang) bermula 4 Jun sehingga 20 Jun lalu.

“Hasil operasi itu, seramai 111 suspek ditahan termasuk ahli-ahli kumpulan yang sudah dikenal pasti berada dalam tahanan penjara.

“Tiga sindiket dikenal pasti sebagai Geng Otong di Johor, Geng Halim (Perak) dan Geng Husen Maungdaw (Pulau Pinang),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ketiga-tiga geng itu dikenal pasti aktif menyeludup migran dari Indonesia, Filipina dan juga etnik Rohingya melalui perairan di selatan, tengah dan utara tanah air sejak 2014. – BH Online

Loading...