PDRM Siasat Maklumat Berklasifikasi ‘Rahsia’ Tersebar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu maklumat rasmi yang berklasifikasi ‘rahsia’, dikongsi dan disebarkan melalui aplikasi WhatsApp oleh pihak tertentu.

Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 203A (2) akta sama.

“Ia membawa maksud barang siapa mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang pada pengetahuannya sudah didedahkan dengan melanggari Subseksyen (1) yang mendedahkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain, hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Asmawati memberitahu, mana-mana pihak yang memiliki maklumat terkelas (classified) diterima daripada mana-mana pihak hendaklah tidak berkongsi atau menyebarkannya.

Jelasnya, mereka juga diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 203A(1) akta sama bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat itu.