PDRM Batal Lesen Pemilikan Raifal – KPN

KUALA LUMPUR – Semua lesen pemilikan raifal, yang dikenal pasti sebagai senjata api popular untuk pemburu haram, akan dibatal secara berperingkat-peringkat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pembatalan lesen itu adalah antara usaha drastik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menghentikan kegiatan pemburuan haram di negara ini, yang dilihat semakin berleluasa.

Tindakan itu diambil berikutan raifal adalah senjata api paling popular menjadi pilihan dalam kalangan pemburu haram, katanya kepada Bernama.

Selain itu, timbul isu kebimbangan serta kemungkinan senjata api berkenaan jatuh ke tangan kumpulan pengganas.

“Pada masa sama, PDRM turut menghentikan kelulusan syarat berburu bagi pemohon lesen senapang baharu,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis juga sedang mengenal pasti hampir 7,000 pemilik senapang yang mempunyai lesen berburu berumur lebih 70 tahun bagi membatalkan syarat berburu yang dimiliki mereka.

Isu pemburuan haram terhadap binatang liar mula menarik perhatian ramai apabila dua ekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan tembakan di Sabah masing-masing pada 17 Oktober dan 25 September lalu, dengan gading gajah didapati hilang dipercayai angkara pemburu haram.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Khazanah dalam usaha membanteras kegiatan pemburuan haram sekali gus menyelamat dan memulihara khazanah hutan negara, yang ada antaranya hampir pupus.

Dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 anggota dikerah bagi menjalankan Ops Bersepadu Khazanah di hutan negara.

Abdul Hamid ketika ditanya mengenai segelintir masyarakat yang bergantung hidup dengan berburu, berkata: “Terdapat sesetengah orang yang bergantung hidup dengan berburu seperti Orang Asli dan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

“Usaha akan dijalankan bagi memujuk mereka untuk bersama-sama memelihara flora dan fauna di hutan.”

Loading...