PDRM Bakal Terima 75 Anjing K9 – Pengarah Jsj

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menerima 75 ekor anjing K9 bagi menggantikan K9 yang telah mati, sakit dan rehat di kandang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kesemua anjing dijangka diterima pada tahun depan.

Beliau berkata setakat ini PDRM hanya memiliki 97 anjing K9 di seluruh negara dan jumlah 75 anjing yang bakal diterima itu akan ditempatkan di kontinjen PDRM yang telah dikenalpasti.

“Kebiasaan anjing K9 ini, diimport dari China dan Jerman kerana kedua-dua negara berkenaan mempunyai baka anjing yang baik.

“Selain itu, anjing K9 ini akan diberi (serah) dan dilatih oleh anggota polis yang bukan beragama Islam daripada seluruh kontinjen PDRM dalam usaha membantu negara membanteras kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan memorial K9 di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata penggunaan anjing pengesan adalah kaedah paling berkesan dalam mengesan aktiviti penyeludupan dadah, mengesan mayat serta menyelesaikan kes-kes jenayah dalam negeri dan luar negara.

Terdahulu, beliau melancarkan sebuah memorial K9 bagi memperingati nama-nama anjing K9 yang banyak berjasa kepada PDRM.

“Memorial ini sebagai tanda untuk memperingati wira-wira (anjing) K9 dan mendokumenkan pengorbanan dan peristiwa yang dianggap panting ke atas 569 anjing K9 yang telah berbakti kepada PDRM,” katanya. – BERNAMA

Loading...