PBS Mungkin Rujuk Kembali Bersama BN

KIMANIS – Parti Bersatu Sabah (PBS) yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 menimbang kemungkinan untuk parti itu kembali ke pangkuan gabungan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan presidennya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili ketika berucap pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah anjuran BN, di sini, malam tadi.

“Sekarang PBS tidak lagi dalam BN tapi nanti dua tahun lagi (menjelang PRU-15) kita boleh runding balik dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Kenyataan Maximus itu didengar sendiri oleh Ahmad Zahid yang turut hadir pada program berkenaan, diikuti tepukan semua pemimpin BN dan parti pembangkang yang hadir.

Antara yang hadir ialah bekas Ketua Menteri yang juga Huguon Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Kurup.

PBS mula-mula menyertai BN ketika parti itu membentuk kerajaan negeri pada 1985 tetapi keluar untuk menyertai Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai PAS dan Semangat 46 menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 1990 sebelum kembali dalam gabungan itu pada 2002.

Parti itu sekali lagi bertindak keluar daripada BN pada 2018 selepas BN Sabah tersungkur apabila sebahagian wakil rakyatnya meninggalkan gabungan itu dengan dimulai lima wakil rakyat dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sebelum disusuli wakil rakyat UMNO, PBS dan PBRS.

Ketika ini, BN Sabah hanya diwakili UMNO dan MCA, namun parti tempatan yang meninggalkan gabungan itu masih bekerjasama sebagai parti blok pembangkang termasuk sama-sama berkempen untuk calon pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, menjelaskan walaupun parti itu tidak lagi bersama BN, ia tetap menyokong perkara yang mendapat perhatian bersama seperti isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang dibantah semua parti pembangkang di negeri ini.

Sementara itu, beliau menegaskan nasib yang menimpa BN Sabah hari ini bermula daripada tindakan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau membawa lima wakil rakyatnya meninggalkan BN selepas PRU-14.

“BN sudah membentuk kerajaan menerusi kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetapi selepas melihat BN Pusat jatuh, Madius cepat-cepat bawa partinya keluar BN dan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebab dia mahu jawatan.

“Sekarang dia masuk sini sana, cakap pasal PSS, kononnya PAS lagi bahaya daripada PSS. ‘Mulau tutok’ (Otak gila) dia itu.

“Baru-baru ini dia tukar nama parti dia kepada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu, hilang sudah itu ‘momogun’ sebab dia tahu orang Kadazandusun Murut tidak suka UPKO sudah,” katanya. – BH Online