PBNK Mohon Bantuan Dana Kerajaan Kelantan

KOTA BHARU – Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan (PBNK) memohon bantuan daripada kerajaan negeri bagi membolehkan persatuan itu menyusun program pembangunan sukan berbasikal di Kelantan.

Presiden PBNK Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata sokongan kerajaan negeri amat penting terutamanya dari segi kewangan untuk pihaknya melaksanakan program dan kejohanan yang boleh meningkatkan prestasi atlet.

“Kita juga berharap pihak kerajaan negeri mengambil berat terhadap prasarana untuk atlet melakukan latihan dan mengatur penganjuran kejohanan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata bagi memantapkan sukan itu, pihaknya melakukan penstrukturan semula bagi melantik kepimpinan baharu untuk menerajui sukan berkenaan.

“Ia penting untuk hala tuju persatuan tahun hadapan, kita mahu persatuan ini mampu melahirkan atlet yang berpotensi setanding dengan atlet yang dilahirkan melalui persatuan di negeri lain.

“Kita harap pelantikan barisan kepimpinan ini dapat melakukan kerja keras, bekerjasama berpasukan dalam apa perancangan untuk pembangunan sukan berbasikal di Kelantan,” katanya.

Katanya kerajaan negeri harus memberikan perhatian menyeluruh tidak hanya memberikan tumpuan kepada bidang sukan tertentu selepas mengambil alih pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan tahun hadapan.

“Jadikan berbasikal sebagai sukan penyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini seperti sukan lain yang telah membawa nama Kelantan ke peringkat yang tinggi seperti bola sepak, badminton dan muay thai,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri bakal menguruskan MSN Kelantan tahun hadapan setelah hampir 28 tahun jabatan pengurusan sukan itu diuruskan sepenuhnya oleh MSN melalui kerajaan persekutuan. – BERNAMA

Loading...