PBK Mahu Bawa Sarawak Keluar Malaysia

KUALA LUMPUR – Parti Bumi Kenyalang (PBK) dilaporkan berhasrat membawa negeri Sarawak keluar dari Malaysia sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada tahun 2021.

Presiden PBK, Voon Lee Shan menegaskan, Sarawak berhak untuk berbuat demikian dan partinya berpandangan langkah Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah satu kesilapan.

“Disebabkan agihan kerusi Parlimen yang tidak sama banyak kepada Sabah dan Sarawak (berbanding negeri-negeri Semenanjung Malaysia), kita tidak boleh menguasai Kabinet. Oleh kerana itu, Pusat akan terus menguasai Sabah dan Sarawak.

“Untuk melaksanakan strategi keluar daripada persekutuan Malaysia, kami dalam PBK memohon pengundi Sarawak untuk menyokong parti bagi menguasai kerajaan negeri dalam pilihan raya akan datang,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Dayak Daily yang disiarkan pada Sabtu lalu.

PBK dijangka akan meletakkan calonnya di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN tersebut.

Jelas Lee Shan, dengan menguasai kerajaan negeri, PBK boleh mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk dari segi perundangan bagi menjayakan impian ‘memerdekakan’ Sarawak.

Beliau juga dilaporkan berkata, pemimpin-pemimpin negeri Sarawak sebelum ini tidak sedar tentang strategi Persekutuan Tanah Melayu untuk menguasai sumber di Sabah dan Sarawak menerusi undang-undang di Parlimen selain mengembangkan parti di kedua-dua negeri tersebut.

“Sebaik sahaja mereka mengambil alih kerajaan negeri, tidak akan ada apa-apa yang melarang mereka untuk meminda Perlembagaan Negeri kita dan meluluskan undang-undang negeri yang berkaitan untuk membenarkan orang dari Persekutuan Tanah Melayu bertanding di sini, menjalankan perniagaan dan mengawal ekonomi.

“Mereka juga boleh mengambil hak imigresen dengan meminda undang-undang,” katanya.

Beliau juga mengulas bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sarawak untuk menuntut semula autonomi dan hak negara ‘tidak memuaskan hati’.

“Ini kerana kami dengan sabar menunggu selama 56 tahun untuk hak kami dipulangkan, dan kerajaan Malaysia melalui Kabinet pula bersikap terlalu senyap perlahan untuk mengembalikan hak kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...