PBB Group Tidak Bincang Beli MSM

KUALA LUMPUR – PPB Group Bhd. hari ini mengesahkan ia tidak membincangkan mengenai pembelian kepentingan dalam MSM Malaysia Holdings Bhd. dengan FGV Holdings Bhd.

Pengarah Urusan PPB Group, Lim Soon Hua berkata, FGV mencari pelabur atau rakan kongsi.

“Saya boleh mengesahkan bahawa PPB tidak berbincang dengan FGV.

“Saya berpandangan adalah lebih wajar anda menyemak dengan FGV, dengan siapa mereka berbincang,” katanya semasa taklimat media dan penganalisis di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa FGV mengadakan perbincangan untuk menjual 51 peratus kepentingannya dalam MSM dengan beberapa pihak tempatan dan antarabangsa termasuk syarikat sekutu 18.5 peratus milik PPB Group, Wilmar International Ltd. yang dimiliki Kuok Group.

Selain itu, FGV juga mencari kerjasama berpotensi dengan peserta antarabangsa bagi sektor huluan dan hiliran industri gula.

Lim berkata bagi pengembangan seterusnya, PPB Group komited untuk melabur RM794 juta bagi tempoh empat tahun, dengan RM395 juta diperuntukkan kepada segmen bijirin dan perniagaan tani untuk pembinaan kilang tepung gandum dan bijirin di Vietnam serta pelaburan bagi kilang tepung di China, antaranya.

Kira-kira RM379 juta disediakan untuk segmen penayangan dan pengedaran filem bagi pembukaan 10 panggung wayang baharu termasuk satu di pasaran baharu, Kemboja selain penambahbaikan panggung wayang sedia ada.

RM11 juta pula dikhususkan untuk segmen produk pengguna bagi pembinaan kilang pengeluaran baharu dan pembelian peralatan.

Selain Kemboja, syarikat itu juga menyasarkan untuk membuka panggung wayang di Myanmar dan memperluaskan kedudukannya di Vietnam.

Lim berkata, keseluruhannya, perniagaan utama PPB Group dijangkakan mencatatkan prestasi memuaskan, dengan Wilmar terus menyumbang secara ketara kepada keberuntungan keseluruhan syarikat.

Segmen bjirin dan perniagaan tani, yang menyumbang 68 peratus kepada perolehan syarikat, bersedia untuk memanfaatkan kedudukan pasaran sedia ada serta merekodkan prestasi memuaskan, manakala segmen produk pengguna dijangka kekal stabil bagi baki tempoh tahun ini.

Segmen penayangan dan pengedaran filem diunjurkan disokong oleh pengenalan teknologi baharu, pembukaan panggung wayang baharu serta keluaran wayang yang hebat.

Segmen kejuruteraan alam sekitar dan utiliti akan terus menumpukan usaha mencatatkan semula nilai perolehan kontrak yang berjumlah RM676 juta setakat 31 Julai, 2019 serta meneroka projek baharu.

Segmen hartanah akan terus melaksanakan projek sedia ada dan menambah baik hasil hartanah pelaburan sedia ada.

Lim berkata projek Megah Rise di Petaling Jaya, Selangor telah merekodkan jualan sebanyak 49 peratus setakat 31 Ogos, 2019.

Loading...