PAU 2019: Jerat DAP Tak Mengena, Twitter Kit Siang Pun Sunyi

Oleh: HM Noor

SEMINGGU dua menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019, bertubi-tubi isu panas yang menggelegakkan darah tular seakan hasil susunan muzik sebuah orkestra.

Dari kisah abu mayat Chin Peng yang hanya didedahkan dua bulan selepas dibawa pulang, perhimpunan mengenang simpati ‘komunis’ di Kajang, bendera bintang berbucu lima dan tidak cukup itu, lagu kebangsaan dalam bahasa lain pula ditularkan dalam tempoh kehangatan PAU.

Semua hal ini dalam siasatan polis tetapi dari segi politik seperti ada yang cuba menangguk di air keruh. Seperti ada yang memberi bola tanggung. Mungkin benar, tiada kebetulan dalam politik kecuali dirancang.

Namun jika ada hasrat mahu melihat UMNO sebagai sebuah parti kebangsaan Melayu meloncat memberi komen yang dilihat ekstrem dan radikal dalam mengkritik isu tersebut sehingga boleh diputar belit sebagai mengecam kaum lain, nyata mereka hampa.

Bola tanggung yang diberi tidak disahut, fokus perwakilan tidak berganjak kepada usaha memperkukuhkan parti dan Muafakat Nasional dalam usaha menawan kembali Putrajaya.

Komen-komen yang diberi dalam isu-isu panas semasa sangat matang tanpa terjerumus dalam perangkap lawan yang sentiasa menunggu bagi menghasut bukan Melayu membenci UMNO.

Malah tiada ucapan perwakilan yang boleh digunakan lawan untuk dimanipulasi bagi menakutkan bukan Melayu terhadap UMNO dan Muafakat Nasional.

Musuh yang sentiasa bergantung kepada dogma bahawa UMNO ancaman kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum nyata berputih mata kali ini.

Malah, bila dibelek twitter pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang pun setakat ini tidak pun mengulas perjalanan PAU. Sangat luar biasa. – Mynewshub.TV

Loading...