PAU 2019 Diubah Pada 4 Hingga 7 Disember Depan

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agong UMNO 2019 (PAU) yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 16 November depan diubah kepada tarikh baru iaitu pada 4 Disember sehingga 7 Disember 2019.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tarikh asal itu terpaksa diubah setelah bertindih dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang telah diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Majlis pimpinan tertinggi telah berbincang hari ini dan menetap tarikh baru bagi memastikan semua jentera tertumpu pada PRK nanti.

“Kami semua sepakat untuk memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya pada PRK tersebut, semua jentera dan sayap parti akan dikerahkan di sana nanti,” ujarnya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya pada PRK terbabit dan pengumuman calon akan diberitahu dalam masa terdekat.

“Nama calon akan diumumkan dalam masa terdekat setelah perbincangan serta kajian terperinci telah dilakukan oleh pusat, setelah semuanya selesai kami akan umumkan.

“Isu calon ini tidak akan timbul kerana pihak kami juga telah berbincang dengan MCA bersama presidennya Wee Ka Siong,” jelasnya.

Sementara itu, UMNO bakal menghantar wakilnya yang diketuai oleh Setiausaha Agong, Tan Sri Annuar Musa ke Perhimpunan Maruah Melayu setelah mendapat jemputan daripada pihak penganjur. – K! ONLINE